"Kenapa tak bagitahu ibu nak balik?" bebel ibu. Dari aku pijak sahaja muka pintu sampailah ke meja makan ini tak habis-habis soalannya. Itu dan ini, sampai tak terjawab.
Aku memandang wajah tua ibu. Rambutnya yang sudah beruban lebat dan mukanya yang sudah penuh dengan garisan usia. Terubat rindu aku padanya.
"Betul ke Along cakap Sha nak pergi bercuti dekat Australia? Bila Sha nak pergi? Dengan siapa? Sikit pun Sha tak nak bagitahu ibu ya? Tak tahu ke orang tua ni risau kat dia agaknya?"bebelan ibu masih tidak berhenti.
"Ibu, ibu... satu-satu boleh tak? Mana satu yang ibu nak Sha jawab dulu ni?" aku memandang wajah ibu yang geram merenung. Aku tersenyum. Ibu mendengus.
"Sha bukan tak nak bagitahu. Cuma nanti kalau Sha bagitahu awal-awal ibu mesti bising? Sha memang dari sini seorang diri tapi kat sana Edwa dah tunggu Sha. Ibu kenal kan Edwa?" Ibu menghentikan basuhannya dan duduk berdepan dengan aku.
"Edwa? Buat apa dia kat sana?" soal ibuku. Mungkin dia terlupa yang Edwa sudah lama tidak duduk sebumbung dengan aku.
"Ibu ni. Dia kan sambung belajar kat sana. Dah nak abis dah. Ibu lupa ke?" Ibu termenung mengingat.
"Kalau kamu dengan Edwa ke sana. Ibu tak kisah sangat. Tapi jangan buat yang bukan-bukan sudah" pesan ibu.
"Ya, Sha faham..." anggukku sambil menguis nasi goreng di pinggan.
"Bila pergi?" soal ibu lagi.
"Lusa? Lusa nak pergi, baru hari ini nak balik bagitahu? Sha, Sha... susah ibu nak cakap dengan kamu ni..." keluh ibu. Aku hanya tersenyum memandang.
"Bu, abah mana?" soalku bila dari tadi masa tak nampak bayang abah kesayanganku.
"Ke kebunlah, mana lagi dia nak pergi" balas ibu.
"Dah kebetulan Sha balik ni, kejap lagi tolong amikkan Aqil kat sekolah boleh?" pinta ibu.
"Aqil? kenapa pula nak ambil dia? bukan dia duduk asrama ke?" soal aku pelik.
"Memang lah. Tapi budak tu batuk dah seminggu tak baik-baik. Cikgu telefon Kak Jue pagi tadi. Dia minta abah tolong ambil petang ni. Tapi memandangkan Sha dah ada ni, Sha tolonglah ya?" pinta ibu lagi.
"Pandai ya, Kak Jue. Hantar anak sekolah dekat dengan ibu dan abah. Bila hal macam ni bolehlah minta tolong. Kak Jue tak cuti ke, bu? Anak dia tak sihat tu siapa nak uruskan nanti?" kadang-kadang aku geram juga bila adik beradik aku yang lain masih membebankan ibu dan abah dengan masalah mereka.
Ibu dan abah dah tua, kot! Biarlah masa yang ada ni diaorang berehat, berdua-duaan, kenang masa silam ke? Belajar agama sama-sama ke? Ini ada sahaja yang nak mengacau, masih lagi nak kena uruskan hal anak, hal cucu. Anak-anak pula semua dengan hidup masing-masing. Sibuk dengan kerja.
"Kak Jue kamu sibuk. Hujung minggu ni nanti dia baliklah. Aqil tu kalau kamu malas, bawa balik je. Nanti pandai-pandailah abah kamu tu bawa pergi klinik" ujar ibu membuatkan aku mengeluh. Dah aku dok membebel pasal adik-beradik tak akan aku pula nak menyusahkan abah. Setakat bawa Aqil pergi klinik apalah salahnya. Dah besar, tak payah dukung, tak payah berpimpin.
"Apa yang kamu nak keluhkan tu, Sha? Ini ibu nak tanya, betul ke kamu tak nak dengan Si Imran tu? Tak akan sikit pun kamu tak nak pertimbangkan? Teruk sangat ke dia tu? Mak bukan apa, mak dia dah banyak kali datang ke sini bertanya. Naik letih ibu nak melayan..." inilah salah satu punca kenapa hidup aku dua tiga menjak ini agak huru hara. Kusut, Stress!
Kes ini hampir buat aku dan ibu bergaduh. Banyak kali juga aku mengelak untuk mengangkat panggilan dari ibu. Entah apa yang dia suka sangat dengan Imran tu, aku pun tak tahu. Nasib baik ada abah yang memahami perasaan anak gadisnya ini. Sentiasa ada untuk aku meluahkan perasaan.
Dan, kata-kata abah adalah kuasa veto. Jangan dipaksa budak tu! dan ibu hanya menjeling tanpa apa-apa paksaan lagi hingga ke hari ini.
"Pukul berapa nak ambil Si Aqil ni?" soalku sambil memandang jam di dinding. Ibu turut memandang sama dan beristigfar. Aku memanjat syukur. Entah kenapa aku rasa harus berterima kasih kepada Kak Jue dan Afiq.
Aku masuk ke pagar sekolah sebelum berhenti di pondok jaga. Sekolah berasrama penuh ini memang terkenal dengan kawalan dan displin yang kuat. Bukan sebarang masa boleh berjumpa dengan pelajar. Nasib, sebelum datang Kak Jue sudah memberitahu Cikgu yang bertugas tentang kehadiran aku. Jadi mudah sikit urusan aku disini.
Mata aku tiba-tiba terpandang Pak Cik Jaga yang agak berumur sedang datang menghampiri. Dia bertanya sesuatu kepada kawannya sebelum tersenyum pada aku. Ikutkan hati nak saja aku terus cabut dari sini tapi mengenangkan kad pelawat masih ada pada tangan kawannya lagi, terpaksalah aku batalkan niat itu.
"Anak saudara?" tanyanya mesra. Aku hanya tersenyum mengangguk.
"Oh, ingatkan anak sendiri. Tu yang pak cik terperanjat. Ingatkan dah besar dah anak..." kata-kata itu walaupun sebenarnya gurauan tapi seakan sindiran untuk aku.
Aku masih tegang tersenyum. Dengan laju aku mengambil kad pelawat bila dihulurkan.
"Tak adalah pak cik, anak kakak. Masuk dulu ya pak cik" berbahasa. Itu pesan ibu. Orang tua harus dihormati, walau apa jua keadaannya.
"Cik, Cikgu Helmi dekat kawasan astaka ya? Kat depan pejabat. Cik tahu kan?" tapi belum sempat aku menjawab ada yang lagi pantas.
"Tak payah risau. Dia tahu selok belok sekolah ni. Tak banyak mana yang berubah. Ya tak, dik?" Pak Cik tu berkata sebelum tersenyum memandang aku.
Merah padam muka aku ketika ini. Bukan pasal, panas matahari. Bukan pasal, salah krim muka. Tapi pasal malu. Malu dengan kisah silam sendiri.
Ini semua pasal Zara! Kalau dia tak beria-ia ajak aku datang sekolah ini dulu, tak akan aku kena tangkap dengan pak cik jaga ni. Zara!
Tapi salah aku juga. Kalau aku tak duduk berdua-duaan kat padang sekolah. Tak akanlah aku kena tangkap kan? Padang sekolah lelaki pula tu! Walaupun hari tu hari terbuka, tapi bukan terbuka untuk semua orang kan?
Dah salah kau Sha, mengaku sahajalah. Kau yang salah.
Tapi pak cik ni hebat jugalah. Masih kuat berkerja lagi. Dan yang paling hebat, masih cam lagi rupa aku ni. Lebih sepuluh tahun kot kes tu! Ke, aku ni yang awet muda? muka tak berubah langsung? Aku belek wajah di cermin.
Tapi sebenarnya pak cik tu baik orangnya. Dia tak sampai hati pun nak buat aduan. Dia lepaskan aku dan Zara macam tu saja. Cuma tebal lah telinga dengar bebelan dan nasihat. Nak buat macam mana dah salah sendiri kan?
Aku tersentak bila ada orang memberi salam. Dengan tersipu aku menjawab salam. Mata aku terkebil-kebil mengingatkan wajah yang sedang berdiri didepan aku. Helmi?
"Wei, kau buat apa kat sini?" soalan Helmi makin membuatkan aku terpinga. Betul ke dia Helmi?
"Sha! Kau kenal aku lagi tak ni?" soal Helmi bila melihat aku masih terpinga.
"Helmi?" soal aku mahukan kepastian. Dia tersenyum mengangguk.
"Seriouslah kau. Betul kau, Helmi? Apasal lain sangat kau ni?" soalanku disambutnya dengan tawa.
"Apasal? Dah gemuk? Perut dah buncit? Adatlah bila dah kahwin ni. Makan, minum ada orang jaga..." jelasnya dengan senyuman.
"Lah, kau dah kahwin ke? tak jemput aku pon kan?" usik aku.
"Eh ya ke? Aku dah suruh budak-budak ni sampaikan. Betul kau tak dapat kad aku? Sorry, Sha..." soalnya dengan nada bersalah.
"Eh tak apalah. Mungkin diaorang lupa atau ada sampai kat rumah aku tapi ibu aku lupa nak bagitahu. Lagipun aku jarang balik kampung..." jelasku.
"Owh, mungkin. Kau buat apa datang sini?" soal Helmi bila tersedar mungkin ini masih kawasan sekolah.
"Aku datang ambil anak saudara aku. Dia tak sihat mak dia kata..." jelas aku.
"Owh, kaulah mak saudara Aqil ya?" soal Helmi lagi. Rupanya dia guru bertugas yang sedang menunggu kehadiran aku.
Aku menunggu Helmi memanggil Aqil di dormnya. Macam aku kata tadi. Ini sekolah asrama penuh lelaki. Jadi, spesies perempuan ni memang susah hendak masuk sesuka hati. Lagi-lagi di kawasan asrama mereka. Guru perempuan pula boleh di kira dengan jari. Sebab tu sebenarnya lagi senang kalau abah yang pergi. Tapi kesian pula aku tengok abah tadi. Penat-penat balik dari kebun kena ambil cucu kesayangan dia pula.
Padang sekolah aku perhatikan dari jauh. Entah kenapa aku tersenyum sorang diri bila teringatkan pak cik jaga tadi. Padang sekolah yang telah melakar sejarah yang memalukan dalam hidup aku.
Pagar belakang sekolah yang mengamit kenangan, aku pandang sayu. Itulah selalunya tempat aku menunggu dia keluar. Hari mereka 'outing' adalah hari 'dating' aku. Aku tersenyum teringat kisah lalu.
Sekolah ini memang terkenal dengan kecemerlangan pelajarnya tak kira dalam akademik ataupun sukan. Kalau budak sekolah aku memang agak berbulu dengan budak sekolah ini. Tapi nak buat macam mana kan?
Mana agaknya kelas dia ya? Dulu dia selalu bercerita. Tentang keadaan sekolah dia, kawan-kawannya, kelas dia...
"Wei, kau cari apa tu?" sergah Helmi mematikan lamunan aku.
"Ni anak saudara kau. Batuk dia makin lama makin melarat, risau aku. Buatnya apa-apa hal nanti waktu aku bertugas. Aku pula yang kena.." jelas Helmi bila aku masih terdiam. Aku memandang Aqil yang kelihatan lesu.
"Aqil okay tak ni? kenapa batuk dah lama tak bagitahu Mama? Muka tak bermaya macam ni..." soal aku turut risau bila melihat anak saudara aku yang riuh mulutnya hanya terdiam sepi.
"Aqil okay lah, Acik Sha. Batuk sikit je ni..." balasnya.
"Sikit? Muka dah pucat lesi macam ni pon kau kata sikit jer? Badan sahaja dah besar panjang tapi masih tak pandai nak uruskan diri sendiri kan?" Aku hanya mendengus geram. Helmi pula tertawa kecil memandang aku dan Aqil yang sedang bertekak.
"Baguslah, mak saudara bebelkan anak saudara. Padahal kau dengan dia sama sahaja. Degil" ujar Helmi membuatkan Aqil memandangnya pelik. Cikgu ni kenal ke dengan mak cik aku?
"Kau diamlah Helmi. Geram aku tengok dia ni. Pandai menjawab" bebel aku.
"Mana tak tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi. Perangai sebiji kau. Degil. Aktif pun ya dia ni. Sukan sana sini. Aku rasa dia ni tak cukup rehat jer. Baru lepas wakil sekolah minggu lepas, bola sepak. Lepas tu kena stay sampai malam study sebab exam. Diaorang baru lepas exam ni, tu yang aku baru boleh bagi dia balik..." jelas Helmi.
Aku mengangguk faham. Dengan pantas aku membawa Aqil pulang sebelum makin banyak cerita aku zaman sekolah diolah Helmi didepan Aqil. Aku bawa Aqil terus ke klinik sebelum pulang. Betul kata Helmi, Aqil perlukan rehat yang cukup. Doktor kata dia kurang rehat. Tekanan darahnya rendah.
Masuk sahaja rumah, Aqil terus bercerita itu dan ini dengan ibu dan abah yang tekun mendengar. Aku hanya duduk menjadi pemerhati. Amboi! Tadi bukan main lemah, pucat lesi. Sekarang macam dah segar bugar pula aku tengok!
Teringat pula dengan soalan Helmi tadi.
"Kau pergi tak esok, reunion sekolah? Kau mesti pergi kan? Sebab tu kau balik ni?" soal Helmi sebelum aku melangkah masuk ke dalam kereta.
"Tengoklah dulu, aku tak pasti. Aku takut tak sempat. Kalau aku tak jadi datang nanti sampaikan salam aku kat diaorang semua ya?" ujar aku. Sejujurnya aku balik bukan untuk hari perjumpaan tu, tapi sebab ibu. Yelah, tak akan aku nak pergi bercuti macam tu aja tak bagitahu dia. Tak sedaplah cakap dalam telefon.
Nak pergi ke tak nak?
"Acik Sha memang kenal dengan Cikgu Helmi tu ke?" Aqil bersuara. Jangan dia mengadu bukan-bukan dengan ibu sudah. Anak bujang Kak Jue yang seorang ni bukan boleh percaya. Selalu sangat jadi orang kuat ibu.
"Kawan sekolah, kenapa?" kini ibu dan abah pula menjadi pemerhati perbualanku dan Aqil.
"Tak adalah. Nampak rapat. Macam dah lama kenal. Tapi Acik Sha dah tahu kan dia dah kahwin?" soal Aqil lagi.
"Tentulah, Acik Sha dapat kot kad jemputan dia. Cuma Acik Sha tak dapat datang je..."bohong aku. Padahal kad untuk aku tu dah kemana ntah.
"Jadi Acik Sha kenal lah dengan bini dia, Cikgu Liana?" soalan Aqil kali ini membuat aku tersedak. Aku salah dengar ke?
"Siapa, Qil?" soalku sambil menepuk perlahan dada aku akibat tersedak.
"Cikgu Liana... Acik Sha kenal ke?" soal Aqil lagi. Aku berfikir sejenak. Adakah Liana yang Aqil maksudkan adalah Liana yang sama aku fikirkan?
Abon. Kesiannya kat kau. Gadis pujaan hati dah dirampas kawan baik sendiri.
Aku mesti pergi esok. Aku mesti pastikan Liana mana yang Aqil maksudkan. Dengan laju tangan aku menekan telefon bimbit. Nasib baik internet dekat rumah aku ni laju, kalau tidak susah untuk aku melayari internet dan yang paling penting saat ini adalah facebook.
Aku mencari nama Atie, Zara dan Fika. Sekelip mata satu group telah dicipta. Selepas salam aku terus bertanya tentang majlis perjumpaan esok. Datangkah korang?
Memang hubungan kita orang rapat sewaktu zaman sekolah. Tapi selepas masing-masing mendapat tawaran unversiti yang berbeza hubungan kami mulai renggang. Dan kini kami sebenarnya tak lebih dari kenalan facebook. Setakat komen apa yang patut di laman masing-masing adalah. No telefon mereka pun entah-entah dah bertukar. Kawan apa macam tu?
***
No comments:
Post a Comment