Saturday, March 11, 2017

04 | DIA... LELAKI ITU?!


Sha, bagi aku schedule flight kau, nanti senang aku nak pick up kau kat airport.


Aku baca WhatsApp dari Edwa sambil tersenyum. Siapa tak gembira kalau dapat pergi bercuti, Yeah!

Aku mencari tiket kapal terbang sebelum menghantar pada Edwa. Zaman sekarang terlampau banyak kemudahan sosial yang membuatkan kita senang hendak berhubung walaupun jauh beribu batu.

Dua tiga bulan ni macam-macam berlaku membuatkan aku sedar sesuatu. Tuhan bagi kau dugaan kerana dia nak bagi kau sesuatu. Segalanya pasti ada hikmah. Hidup jangan mudah mengalah!

Dan hari itu tiba-tiba aku teringatkan Edwa. Laju sahaja aku mencarinya di facebook. Setelah berbalas-balas mesej dan komen, akhirnya aku menerima pujukan Edwa untuk bercuti ke sana. 

Akhirnya... Ausiey, here i come!

Ok Sha, apa-apa hal nanti kau update, okay? Ku tunggu mu datang! Wah! tak sabarnya! Rindu kat kau, kat Kak Lia juga... Kalau kau jumpa dia, kirim salam sayang aku wei... Rindunya...

Ish, budak ni. Macam tahu-tahu aku nak pergi jumpa Kak Lia hari ini. Kau pasang CCTV ke kat rumah ni?

"Kak, nak keluar ke?" pertanyaan Dhia memeranjatkan aku yang sedang berpusing melihat sekeliling. Manalah tahu kalau betul-betul Edwa pasang CCTV kat rumah ni, kan?

"Ya, nak tumpang ke?" aku pandang Dhia yang masih berbaju tidur. Tak mungkin kot.

"Tak adalah kak. Saja tanya. Kita orang ingat nak masak-masak petang ni. Akak balik lambat ke?" tanya Dhia lagi.

Sebulan sekali budak rumah ini suka memasak dan panggil kawan-kawan mereka datang makan. Agak riuh rendah jugalah nanti. Kadang kala, kalau ada masa aku layankan juga. Tapi selalunya aku akan cari alasan. Bukan tak suka, tapi jarak umur kami yang agak berbeza membuatkan perbualan kami amat terhad yang kadang kala membawa kepada keadaan yang amat kekok dan tidak selesa. Mungkin untuk aku. Tapi tak tahu mereka.

Aku memandang jam tangan dan berfikir sejenak.

"Oh ya ke? Sorry, akak ada janji dengan kawan. Korang tak payah simpankan akak apa-apa tau. Have a good time..." balasku dengan senyuman.

Nasib baik mereka memang senang untuk bertolak ansur dan tak mudah berkecil hati. Kadang-kadang, kalau aku demam ada saja antara mereka yang ringan tulang untuk masakkan bubur dan belikan ubat. Senang cerita dengan budak rumah ni walaupun ada yang keluar masuk tapi mereka tak banyak karenah dan tak pernah buat masalah.

Aku menghidupkan enjin kereta sebelum memecut keluar meninggalkan budak-budah rumah yang ada diantaranya masih belum bangun dari tidur. Adatlah hari minggu. Semuanya dia mahu balas dendam. Tidurlah, makanlah, dramalah. Lagi-lagi yang gila dengan drama korea. Dari pagi sampai ke malam tak kebas biji mata termangu di depan komputer.

Aku tersenyum mendengar celoteh penyampai radio sebelum lagu 'ku pinang kau dengan bismillah' ke udara. Teringat aku dengan Abon. Agaknya apa reaksi dia bila terdengar lagu ni kan? mesti dia tak sangka ayat lawaknya itu kini menjadi tajuk lagu yang agak popular masa kini.

Abon... Abon...

Bukan aku tak tahu sebenarnya ayat itu kau tujukan untuk Liana. Ingat aku tak nampak ke sebelum tu kau main-main mata dengan dia. Dasar mamat poyo!

Agaknya kau dengan Liana ke sekarang? Dah kawin ke? Dah ada anak ke?

Soalan itu hanya berlegar-legar di kepala menemani aku sehingga tiba di tempat letak kereta pusat beli belah yang Kak Lia maksudkan tadi.

Kak Lia dah sampai ke belum agaknya?

Sempat aku memandang kembali keadaan kereta yang dipakirkan. Tegak ke senget? Aku tak nak lah nanti ada mulut-mulut celupar yang menuduh. Itulah pemandu perempuan, letak kereta pun beterabur. Perempuan je ke?

"Kak, dah sampai? Kat mana? Okay-okay. Jap lagi Sha sampai" laju sahaja soalan meluncur bila mendengar suara Kak Lia ditalian.

Aku yang teruja, berlari-lari anak ke tempat yang Kak Lia maksudkan tadi. Hampir sahaja aku hendak terlanggar seorang mamat handsome akibat kekelam kabutan aku.

Serious wei handsome! kalau Dhia nampak mesti dia meraung. Budak-budak sekarang, pantang nampak lelaki handsome. Lagi-lagi muka kpop, mulalah terjerit sana, terjerit sini. Macam kena histeria. Dah tak ada malu silu lagi dah.

Ya, aku dulu pun macam tu. Tapi bab histeria, meraung bagai tu tak adalah. Main-main mata adalah. Etika mesti ada, wei! Tak nak orang panggil nanti perigi cari timba. Tak cunlah!

Kelibat Kak Lia di depan makin membuatkan aku bertambah teruja. Lama benar rasanya tak berjumpa dengan dia sejak Kak Lia berpindah. Masing-masing sibuk dengan dunia masing-masing. Lagi-lagi Kak Lia sekarang isteri orang. Lagilah pergerakannya amat terbatas.

"Kak Lia!" jerit aku dari belakang membuatkan dirinya tersentak. Laju tangannya memukul lembut tanganku.

"Oh my! Oh my gosh! diri sikit, nak tengok. Seriously!" Dia tersentak aku terkejut. Mana taknya ingatkan dari jauh dia dah gemuk. Hal maklumlah makan minum ada orang jaga. Tapi bila dah berdepan. Oh my!

"Berapa bulan dah ni? Dah besar dah baby bump tu. Sikit pon tak nak story kat kita kan..." riuhkan mulut ni?

"Shhh, malu orang dengar. Riuh sekampung hang ni. Terperanjat akak hang sergah gitu. Kesian baby..." ujar Kak Lia bergurau dan mengusap perutnya yang semakin membesar. Aku hanya tersenyum senang.

"Alah kesian baby..."

"Berapa bulan dah kak?" soal aku lagi.

"Enam bulan sudah. Ni pun dah susah nak bergerak ke sana ke sini. Senak. Letih. Tapi ikut nasihat doktor, tak boleh manjakan sangat diri. Nak dekat ni lah kena banyak bergerak supaya nanti nak bersalin senang..." bebel Kak Lia. Aku hanya terlopong mendengar.

"Oh, doktorlah yang suruh ajak Sha gi shopping ni ya? tolong teman exercise?" soalku sambil tersenyum.

"Yelah, dialah. Siapa lagi? Habis doktor nak temankan memanjang tak ada masa. Barang baby masih tak cukup lagi. Kalau dah ter- bersalin nanti tak ke susah. Dia cakap senang aje, itu boleh, ini boleh. Yang tanggung nanti kita..." bebel Kak Lia.

Doktor yang kita orang dari tadi maksudkan tu suami Kak Lia. Orangnya boleh tahan tinggi lampai. Tapi bab sensitiviti kaum perempuan ni dia memang susah sikit nak masuk. Dari zaman bercinta sampai ke zaman dah bergelar suami isteri ni memang selalu sahaja dengar Kak Lia membebel. Tak romantik langsung! Tapi itulah lelaki yang Kak Lia sayang. Satu dalam sejuta. Susah nak cari penganti kata dia.

Bebelan Kak Lia aku sambut dengan tawa. Dari satu cerita ke satu cerita kami bualkan. Kadang-kala gelak besar kami diperhatikan oleh pelanggan yang sedang makan di situ. Tapi, ada kami kisah?

Kak Lia adalah senior aku sewaktu di universiti. Jodoh kami kuat, bila aku mendapat tawaran bekerja disini dengan laju dia menawarkan aku bilik sewa. Katanya, penyewa bilik yang lama terpaksa berpindah atas urusan kerja. Jadi, dengan senang hati aku bersetuju. Dan, dirumah itu buat pertama kalinya aku diperkenalkan dengan Edwa.

Edwa, gadis yang nampak lembut tapi sebenarnya sangat keras hati. Senang berkawan dengan dia walaupun pada mulanya aku ingatkan dia ni sombong. Tapi bila dah lama kenal, memang sekepala. Dia mudah menerima pandangan orang lain. Tapi dia juga orang yang sangat pegang pada pendiriannya. If no is means no!

Disebabkan itu, bila dia putus tunang. Dengan nekad dia membuat keputusan untuk sambung belajar ke Australia. Walaupun ada dikalangan ahli keluarganya yang tidak bersetuju dengan keputusannya. Hal putus memutus ni masih belum dapat diterima senang oleh semua orang. Ada sahaja silap dan salah yang cuba dicungkil keluar. Mereka seakan lupa yang kita hanya merancang. Adakalanya perpisahan itu adalah jalan terbaik untuk kedua-dua pihak.

"Edwa tu berapa lama lagi dia nak duduk bertapa kat sana? Dah tak nak balik-balik ke sini lagi ke?" soalan Kak Lia membuat aku teringat pada kata-kata Edwa.

"Jangan ditanya, bila aku nak balik Malaysia. Macamlah aku ni tak pernah-pernah balik. Padahal tiap-tiap kali raya aku balik. Tapi soalan yang sama tetap aku dapat tiap-tiap tahun. Sampai bosan aku nak menjawab..."bebel Edwa.

"Entahlah kak, kecewa lagi kot..." aku meneruskan suapan. Boleh tahan sedap makanan kat sini, pandai Kak Lia pilih tempat.

"Kecewa apanya. Entah-entah dah dapat pengganti kat sana, sebab tu tak ingat-ingat nak balik. Sha pula macam-mana? Dah dapat pengganti? Siapa nama dia? Ah, Ilham... dah dapat pengganti dia? Ke dah terlampau ramai yang nak jadi pengganti sampai tak tahu nak pilih yang mana satu?" perh, soalan. Hampir tersembur makanan yang sedang aku jamah. Dah kenapa aku juga terbabit sama dalam cerita Edwa ni?

"Em, akak ni. Mana ada. Belum jumpa kot yang sesuai. Yang serasi dengan jiwa dengan hati ni. Jadi nak buat macam mana. Hold lah dulu..." jawabku sambil mengambil tisu.

"Yelah tu. Ilham tu sejiwalah, sehatilah dulu?" sindir Kak Lia.

Kak Lia terlampau mengenali aku. Sejak dari zaman universiti dia sentiasa ada untuk aku luahkan perasaan. Pelbagai jenis lelaki telah aku jumpa. Cinta datang dan pergi. Begitu juga persahabatan. Mencari seorang sahabat seperti zaman sekolah dulu amatlah mustahil. Erti persahabatan sudah mula meluas skopnya. Sahabat susah senang bukan mudah untuk dicari. Inikan pula teman hidup.

Ilham juga adalah antara salah seorang yang pernah hadir dalam hidup aku. Dia buat aku selesa dan senang berkawan dengannya. Harapan dan janji ditaburkan, sejujurnya membuatkan aku terbuai dengan keindahan sementara itu. Walaupun, adakalanya aku cuba tepis perasaan indah itu tapi mulut manis ilham buat aku terbuai seketika.

Tapi takdir Tuhan juga yang paling indah.

Aku dan Edwa berjalan tanpa hala tujuan. Mengisi hari minggu kami tanpa perancangan. Segala jenis kedai kami masuk dah keluar. Tapi satu barang pun masih kami belum teringin bawa balik.

"Bosan wei, nak pergi mana lagi ni?" soal aku kebosanan.

"Tengok wayang, jom?" Edwa memberi cadangan.

"Boleh juga. Tapi isi perutlah dulu. Lapar ni..." Edwa bersetuju dan akhirnya kami duduk memilih hidangan.

"Boleh tahan cantik juga tempat ni kan?" puji Edwa.

"Memanglah cantik. Harga dia pun cantik. Jangan makanan dia pula tak cantik sudah. Tengah lapar ni, nanti muka diaorang pula aku tolong cantik kan..." aku bergurau. Pandai cakap, buat tak berani.

"Yelah kau tu. cakap je pandai. Eh, tu bukan Ilham ke?" Edwa menuding kearah seseorang yang sedang berjalan didepan mata kami. Disebabkan cermin itu mungkin agak gelap ataupun Si Ilham sangat leka dengan teman disisinya. Kehadiran kami memang tidak dirasai.

Aku hanya terdiam melihat kelibat Ilham yang tanpa segan silu memegang pinggang gadis manis disisinya.

"Amboi, bukan main mesra. Diaorang masuk sini ke?" soal Edwa geram.

"Aah, biarkan diaorang. Kita perhatikan sahaja dari sini. Lagipun perut aku lapar ni..." cadangan aku membuatkan Edwa memandang geram.

"Kau ni, dalam keadaan macam ni pun makanan lagi penting kan? Kau tak rasa sakit hati ke?" gila aku tak rasa sakit hati! kena tipu hidup-hidup, wei!

Baru pagi tadi Ilham telefon katakan dia masih outstation. Tak sampai petang dia dah terpancul depan mata. Dengan kejutan pula tu. Hati siapa yang tak terusik? Jiwa siapa yang tak tergugat? Tapi kenapa aku masih tenang memandang? Entahlah, aku pun tak ada jawapan.

"Nak serang orang kena ada tenaga. Nak ada tenaga kena makan. Jadi mana yang penting? sakit hati atau makan?" soalan aku tiba tepat dengan hidangan yang sedang dihidangkan depan mata.

"Makan!" ucap Edwa bila bau makanan yang amat menyelerakan itu menusuk ke hidung. Sempat dia mengucapkan terima kasih dan tersenyum manis kepada pelayan tadi sebelum pantas mengambil sudu dan garfu.

Aku ingat kau dah tak lapar!

Aku memerhatikan dari jauh. Keadaan tempat ini yang agak suram untuk menimbulkan suasana romantik amat menyenangkan kerja aku untuk mengintai mereka. Lagi-lagi ada daun-daun pokok yang menjadi penghalang antara kami. Kurang ajar punya Ilham!

"Diaorang tengah buat apa?" soal Edwa bila melihat biji mata aku sedang mengintai mereka.

"Bercium" sepatah perkataan sahaja tapi mampu membuat Edwa ternganga. Dengan laju dia menoleh.

"Aku gurau jelah. Tak akan diaorang nak buat kat tempat awam ni kot..." ujar aku dan menarik muka Edwa supaya memandang depan. Gila tengok lama-lama. Kalau dia perasaan? Tak sempat aku nak perangkap, aku yang tertangkap.

Habis makanan didepan mata, kami terduduk kekenyangan. Edwa memandang aku setelah mengintai kearah Ilham. Mereka masih duduk bersuap-suapan dan bermanja-manjaan.

Aku tersenyum sinis.

"Dah bersedia?" soalku.

"Dah lama" balas Edwa.

"Kau pergi settle kan bil" arahku sebelum serentak kami berdua bangun dari duduk.

Okay, drama akan bermula. Watch out!

No comments:

Post a Comment