Keindahan musim bunga di Perth City amat memukau. Terasa tenang hati ini memandang bunga-bunga yang cantik berkembang ditambah lagi cuaca yang dingin dan nyaman. Tenangnya... tanpa sedar aku mengeluh.
"Apa yang kau keluhkan tu Sha?" soal Edwa yang berjalan disisiku. Entah kenapa dia beria-ia dari tadi mengajak aku berjalan ke sini.
"Tak ada apa. Aku jadi takjub dengan pemandangan kat sini. Cantik, dingin dan tenang. Patutlah siapa yang datang sini semuanya dah tak nak balik ke Malaysia lagi..." tanpa sedar aku mengeluh lagi.
"Kau sindir aku ke?" soal Edwa kali ini merenung tajam wajahku.
"Ya, memang aku sindir kau. Kenapa? Salah ke?" soalku pula. Cuba menutup ketelanjuran kata-kata yang sebenarnya bukan ditujukan khas untuk Edwa.
"Tak salah, tapi tajam sangat. Tepat kena kat jantung ni..." ujar Edwa memegang dadanya dan beraksi seperti sedang mengeluarkan anak panah dari jantungnya itu.
"Sakit tau..." sambungnya lagi dan tersenyum.
"Aku bukan tak nak balik terus Malaysia, Sha. Cuma aku perlukan masa. Aku masih tak tahu lagi sama ada aku mampu berdepan dengan dia tak nanti. Dalam pada masa yang sama, sejujurnya aku masih kecewa" jujur Edwa.
Mana mungkin kita tak kecewa dengan cinta yang kita agungkan dan percaya hanya dia untuk kita hingga akhir hayat. Impian untuk hidup bersama, sumpah janji setia sehidup semati, tapi akhirnya semua itu seperti kisah dongeng semata-mata.
"Kau ada balik Malaysia juga kan? Tak pernah ke bertembung dengan dia? family dia?" soalku ingin tahu.
"Dengan dia tak pernah. Dengan family dia pernah. Tahun lepas, aku terjumpa kakak dia ..." ujar Edwa.
"Guess what? Dia tuduh aku perangkap adik dia untuk putuskan pertunangan? sebab aku ada lelaki lain. Hebat tak drama mereka?" sinis Edwa.
"Seriously? Habis kau diamkan aje ke?" biar betul? Ada juga manusia yang begini. Dah terang lagi bersuluh adiknya yang bersalah masih lagi juga nak letakkan kesalahan atas bahu orang lain.
"Mana dapat. Kat situ juga aku sembur dia habis-habis. Kak, aku ke yang kena tangkap basah? Aku ke yang gatal melayan client konon, sampai ke bilik hotel?" ucap Edwa dengan gaya minah kepohnya.
"Kau tanya dia macam tu? Biar betul? Boleh tahan gila juga kau ni..." ucap aku sambil menggelengkan kepala tak percaya.
"Kenapa kau tak percaya? Habis nak sangat, aku bagilah. Memang betul salah aku sebab putuskan pertunangan tapi salah aku juga ke lepas tu adik dia kena tangkap basah? Mengarut!" Edwa melepaskan geram.
Benar, keputusan Edwa memutuskan pertunangan mereka dengan tergesa-gesa tanpa berbincang dengan keluarganya agak menghuru-harakan keadaan. Bukan hanya mereka terpaksa menangung malu tapi kedua belah keluarga. Bayangkan, hanya bertemankan aku, dia datang ke rumah tunangnya dan dengan selamba dia duduk berdepan dengan mereka semua.
"Saya minta maaf, saya nak putus tunang" walau hanya sebaris kata-kata yang keluar dari mulut Edwa tapi mampu memaku lima susuk tubuh didepannya. Cincin dan segala barang pemberian yang masih ada padanya diletakkan diatas meja.
Hampir sahaja telapak tangan kakak sulung bekas tunangnya itu hinggap ke pipi Edwa tapi nasib baik ada suaminya yang menghalang. Tanpa sebarang penjelasan kami keluar dari rumah itu. Dan aku rasa itu adalah kesilapan terbesar Edwa.
Tanpa penjelasan semua kesalahan dan kesilapan diletakkan sepenuhnya diatas bahu Edwa. Tuduhan dan cemuhan bukan sahaja pada Edwa tetapi keluarganya turut mendapat tempias yang sama. Belum lagi yang datang dari sanak saudara sendiri. Yang bertanya itu dan ini.
"Aku tak sangka bila dia telefon kau untuk jamin dia dulu. Aku betul tak sangka dia macam tu..." keluhku.
"Kau ingat aku sangka?" soal Edwa kembali tersenyum sinis.
Terimbau kisah lalu sewaktu baru seminggu kes kejadian pulang cincin itu berlaku. Masih lagi terkesan dengan luka lama, luka baru menyapa pula.
"Sha, Edwa tu betul-betul dah okay ke?" soal Kak Lia sambil menarik bekas kacang dari tanganku.
"Entahlah kak, petang tadi kitaorang keluar macam dah okay je. Dah tak nampak sedih sangat dah, cuma kadang-kadang adalah nampak dia termenung sana, termenung sini. Tapi lama-lama okay lah tu. Semua ni makan masa, ni bab hati dan perasaan..." jelasku.
"Betullah tu, cuma akak risau tengok dia berkurung dalam bilik tu lagi. Semalam dah okay dah lepak dengan kita tengok tv. Hari ini dah memerap balik dalam bilik tu..." ujar Kak Lia lagi sambil memandang pintu bilik Edwa yang sentiasa bertutup dua puluh empat jam sekarang ini.
Aku turut memandang dan mengeluh tapi kedua kami tersentak bila pintu bilik Edwa terbuka dengan tiba-tiba.
Dia dengar ke?
Ekor mata kami mengikut langkah Edwa mencari sesuatu di meja depan. Kak Lia memandang aku. Dengan laju aku mengangkat bahu.
"Wa, cari apa?" soal Kak Lia memecah kesunyian.
"Kunci kereta, akak nampak?" soal Edwa tanpa menoleh kearah kami.
"Nak ke mana dengan kunci kereta? nak buat apa? dah malam ni?" soal Kak Lia pelik. Yelah, malam-malam buta macam ni ke mana sahaja yang Edwa nak pergi? baru tadi Kak Lia membebel risaukan dia, ni makin tambah merisaukan pula.
Edwa hanya berdiam dan masuk kembali ke biliknya. Kak Lia mengikutinya dari belakang. Selang beberapa minit selepas itu Kak Lia keluar dengan mukanya yang merah dan terdengar esakan tangisan Edwa dari dalam bilik.
"Sha pergi siap cepat! Kita temankan Edwa jamin si bahalol tu!" dan untuk pertama kali aku mendengar perkataan 'bahalol' keluar dari mulut Kak Lia. Wah! Siapakah si bahalol tu?
Sepanjang perjalanan kami bertiga hanya mendiamkan diri. Sebutir perkataan pun tidak kedengaran. Radio kereta juga tidak berbunyi. Sunyi sepi.
Malam. Sepi.
Horror kan?
Sampai sahaja Kak Lia membantu Edwa mengisi apa yang patut mengikut prosuder dan aku hanya menjadi pemerhati. Muka tunang Edwa aku perhatikan.
Sayu. Malu. Sedih.
Hanya itu yang terpapar diwajahnya.
Aku pun tak faham kenapa Edwa sanggup untuk menjaminnya sedangkan ini kes tangkap khalwat. Bukan ke lebih baik kalau Edwa biarkan ahli keluarga bekas tunangnya itu yang menyelesaikannya sendiri.
"Edwa, wait!" bekas tunangnya cuba menghalang jalan kami dan serentak itu semua disitu terpegun memandang kearah kami bila dengan pantas Kak Lia menampar kuat wajah tunang Edwa dengan geram.
"Kau dengar sini! Ini yang terakhir. Jangan sesekali kau muncul depan Edwa lagi. Kalau aku tahu siap kau aku kerjakan!" tangan Edwa dan aku ditarik laju mengikut langkahnya meninggalkan bekas tunang Edwa yang masih memegang pipinya kesakitan.
Aku tergelak kecil dan menundukkan wajah.
"Kau dah kenapa tiba-tiba ketawa?" soal Edwa hairan.
"Aku teringat waktu Kak Lia tampar dia malam tu..." jelasku. Edwa memandangku terkebil-kebil sebelum dia turut ketawa bersama.
"Kelakarlah Kak Lia ni kan. Dia lebih emosi dari aku..." ujar Edwa bila habis tawanya. Kami terdiam seketika bila sedar kami sudah lama berjalan. Aku menikmati pemandangan di kawasan sekitar itu sebelum Edwa menarik tanganku duduk disebuah bangku yang disediakan.
"Wa, aku dah lama nak tanya sebenarnya. Perempuan yang kena tangkap khalwat dengan dia... perempuan yang sama ke yang datang jumpa kau dan kata dia mengandung?" soalku membuatkan Edwa tersenyum nipis.
"Bertahun sudah baru hari ini kau nak tanya?"
"Ya, orang yang sama. Perempuan yang aku pernah terjumpa sebelum kitaorang bertunang. Bekas kekasih dia..." jelas Edwa sambil memandangku dengan senyuman.
"What! Jadi sebab tu kau ambil keputusan untuk putuskan pertunangan tanpa tanya dulu, tanpa selidik dulu? Sebab dia bekas kekasih tunang kau?" soalku.
"Salah satu sebabnya..." jujur Edwa.
"Tapi itu salah Edwa, Kalau betul dia di perangkap. Kalaulah anak dalam kandungan perempuan itu bukan anak dia? macam mana?" soalku lagi.
"Sha, itu aku tak tahu dan aku tak nak ambil tahu lagi dah. Tapi yang aku tahu sepanjang pertunangan kami, dia masih berhubung dengan perempuan tu. Dan hari aku pulang cincin tunang kami, dia ada dengan perempuan tu..." jelas Edwa.
"Maksud kau?" soalku lagi masih binggung.
"Sha, kau pernah bercintakan? Until now, dengan lelaki yang kau berjumpa, dengan yang kau bercinta. Pernah tak kau bandingkan mereka dengan first love kau?" soalan dibalas dengan soalan. Aku mengerut kening.
"Walaupun bukan semua tapi majoriti orang susah nak lepaskan cinta pertama mereka. Lagi-lagi kalau cinta mereka itu dihalang oleh sesuatu"
"Masa, keluarga, keadaan... antara faktornya..."
"Dalam kes diaorang, keluarga adalah punca utamanya. Sebab apa aku pun tak pasti..." jelas Edwa.
"Jadi sebenarnya bukan sebab dia curang? bukan sebab kandungan tu? tapi sebab kau sendiri nak undur diri?" soal aku tidak percaya dengan tekaan aku sendiri.
"Sebab aku penghalang mereka. Kami disatukan oleh keluarga. Alasan dia hanyalah keluarga. Sedangkan dia dan perempuan itu kerana cinta. Kau rasa ikatan mana yang lagi kukuh? Kau nak suruh aku pertahankan tembok yang mana?" soalan Edwa aku jawab dengan keluhan.
"Bagi aku dia pengecut. Itu punca terbesar aku nak putus dengan dia. Aku tak boleh hidup dengan lelaki yang takut dengan keluarga dia sendiri. Yang tak kuat pendirian. Dia tak berani nak pertahankan perempuan tu, yang dia pernah cinta satu ketika dulu inikan pula aku yang baru nak menyulam cinta..."
"Paling ketara, dia berani telefon aku dan bukan ahli keluarganya. Sanggup ugut nak bunuh diri kalau keluarga dia dapat tahu... mana pegangan dia kat situ? inikah lelaki yang akan bimbing aku?" okay, kau dah bawa aku ke jalan buntu Edwa. Kali ini aku benar-benar mati kata.
"Sha, benar aku kecewa sebab aku sayangkan dia. Dia lelaki pertama yang berjaya buat aku impikan masa depan bersama. Impian dan masa depan aku pernah hanya untuk dia. Tiba-tiba aku seperti terjaga dari mimpi bila aku sedar dia tidak sempurna mana. Aku cuba terima, dia manusia biasa..."
"Tapi bila mana aku makin mencuba aku rasa kami tak serasi bersama. Egokah aku? Aku cuma nak cari jalan yang terbaik untuk semua. Untuk aku dan untuk dia..."Edwa terdiam seketika.
"Aku kenal dia. Dia bukan lelaki yang macam tu..." kali ini aku benar keliru dengan kata-kata Edwa.
"Maksud kau?" soalku.
"Aku pasti kandungan itu bukan anak dia, dan malam itu dia terperangkap. Dia bukan lelaki yang mudah tergoda oleh nafsu. Cuma dia lelaki yang lemah dan tak pernah berani berkata tidak. Itu kelemahan terbesar dia..." jelas Edwa lagi.
"Jadi..." aku menunggu Edwa meneruskan ceritanya.
"Jadi, esok kita akan ke Fremantle. Aku bawa kau tengok kangaroo, tengok kaola. Nak?" soal Edwa cuba mengubah topik cerita kami.
"Edwa..." aku seakan merengek.
"Sha... dalam hal tentang kehidupan ini yang paling penting adalah apa yang kau mahukan. Bukan apa yang orang mahu kau buat. Kau nak bahagia? Kejar bahagia tu. Kau nak kepastian? kejar pasti tu. Dalam hal aku, aku nak kan ketenangan. So, aku tenang kat sini. Macam tu juga kau kan? Aku pasti ada sesuatu yang buat kau nak datang ke sini. Jangan jadikan ajakan aku sebagai alasan. Sebab kalau pasal aku dari dulu lagi kau pasti dah datang sini..." ujar Edwa lagi.
Aku terdiam memikirkan bait-bait kata yang Edwa ucapkan tadi.
Kau nak bahagia? Kejar bahagia tu. Kau nak kepastian? kejar pasti tu.
Aku nak pasti! jeritku dalam hati.
"Wa, kat mana Curtin University?" soalku tiba-tiba.
"Hah?" Edwa memandangku pelik.
"Curtin University. Kat mana? kat Perth kan?" soalku bersungguh-sungguh membuatkan Edwa bekerut memandang .
"Ya, kenapa...?" soalan Edwa aku cantas dengan laju.
"Bawa aku ke sana. Aku nak ke sana" pinta aku yakin.
"What!" jerit Edwa.
No comments:
Post a Comment